<$BlogRSDUrl$>

Tuesday, November 29, 2005

Berita Panas 



Selalunya, orang ramai lebih tertarik kepada berita-berita sensasi yang datang dan pergi secara cepat, tetapi jarang ambil peduli berita-berita "meleret' yang membosankan, walaupun berita-berita tidak sensasi inilah kadang-kala teramat penting dan akan memberi kesan mendalam kepada ramai orang.

Contohnya, berita-berita gosip artis, bencana alam, kemalangan, jenayah dan politik semasa menjadi berita yang diikuti, sedangkan berita-berita "jangka panjang" dan akan memberi kesan besar kelak, seperti kebangkitan Islam di Eropah dan perubahan cuaca dunia tidak menarik perhatian umum.

Umpamanya, hari ini, bagi saya, berita terbesar adalah ulangan keengganan Amerika Syarikat menandatangani "Kyoto Protocol" PBB mengenai perlepasan gas "rumah hijau".
Semalam, dalam mesyuarat "UN Climate Control Conference" di Kanada, Amerika sekali lagi mengulangi pendirian degil mereka. Tanpa Amerika Syarikat, Perjanjian Kyoto adalah kurang bermakna kerana Amerika adalah pencemar terbesar dunia, iaitu pada 25% jumlah dunia.

Perjanjian Kyoto kini sudah ditandatangani 140 negara sejak dilancarkan dalam tahun 1997. Malangnya, ianya hanya dapat mula dilaksanakan Februari lepas kerana salah satu syarat perlaksanaan adalah jumlah perlepasan gas negara-negara terbabit mesti mencapai 55% jumlah keseluruhan dunia. Tanpa Amerika Syarikat, jumlah tersebut sukar dicapai. Hanya setelah Rusia menandatanganinya tahun lepas barulah tahap 55% itu tercapai. Perjanjian ini memaksa 35 negara-negara industri terbesar menurunkan kadar perlepasan enam jenis gas kepada 5.2% lebih rendah dari kadar mereka dalam tahun 1990. Semua ini mesti dicapai selewat-lewatnya tahun 2012.

Amerika Syarikat sebenarnya sudah menandatangani Perjanjian Kyoto ini dalam tahun 1997 melalui Bill Clinton, tetapi dalam tahun 2001, Presiden Bush telah menarik balik perjanjian mereka. Alasannya adalah perjanjian ini mengancam ekonomi Amerika Syarikat dan kawalan terhadap China dan India tidak mencukupi.

Keangkuhan Bush telah banyak mengganggu kelancaran Perjanjian Kyoto dan kini dia cuba pula mengganggu kelancaran mesyuarat di Montreal ini. Apakah "Montreal Protocol", perjanjian untuk tahun 2012 ke atas yang bakal ditandatangani seminggu dua lagi akan menerima nasib yang sama seperti Kyoto? Jika benar, maka kita semua tunggulah akibatnya nanti. Inilah sebenarnya berita panas.


++++++++++++++